Monday, 14 February 2011

Tips untuk menjadi bapa yang disayangi

Untuk menjadi bapa yang dihormati dan disayangi oleh anak-anak, ia bukan datang begitu sahaja.  Ia harus disertai dengan tingkah laku dan usaha yang berterusan.  Jangan sesekali menganggap bahawa dengan hanya memberikan kesenangan dari segi kebendaan dan limpahan wang ringgit, kasih sayang dari anak-anak akan terbina.  Sebagai panduan untuk disayangi dan dihormati oleh anak-anak, para bapa, terutamanya bapa baru harus mengamalkan perkara-perkara berikut:


1. Melakukan perkara selaras dengan kata-kata.
Melakukan perkara yang selaras dengan kata-kata adalah sangat penting.  Janganlah "cakap tak serupa bikin".  Anda harus menunaikan setiap janji yang anda lafazkan kepada anak-anak.  Dengan ini anak-anak anda akan menyayangi, menghormati dan menyanjung anda sebagai bapa.  Jika anda sering gagal menunaikan apa yang dijanjikan, rasa hormat anak-anak anda akan semakin menghilang.

2.  Disiplin
Untuk membesar sebagai manusia yang berguna, bimbingan dari anda adalah amat diperlukan.  Mungkin agak sukar untuk mendisiplinkan anak-anak, tetapi dengan usaha yang berterusan, pasti ia akan dapat dicapai.  Ia haruslah dipupuk sejak mereka kanak-kanak lagi kerana jika hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Yakinlah bahawa jika anda berjaya mendisiplinkan mereka, pasti perkara yang anda lakukan ini akan dikenang oleh anak-anak bila mereka dewasa nanti dan ia sekaligus akan menimbulkan perasaan sayang dan hormat kepada anda.

3.  Kawal perasaan
Mengalami tekanan ditempat kerja, di jalan raya dan dimana-mana sahaja kadangkala sukar dielak.  Oleh itu anda harus belajar untuk meninggalkan tekanan-tekanan tersebut diluar rumah.  Biasakan apabila masuk sahaja ke dalam rumah, anda adalah seorang bapa yang periang dan gembira dengan anak-anak.  Janganlah sesekali membawa masalah di luar ke dalam rumah.  

4.  Luangkan masa untuk anak-anak
Walaupun sesibuk mana anda, cubalah luangkan masa untuk berbual dengan anak-anak dengan bertanyakan aktiviti mereka seharian, bertanya tentang kawan-kawan dan juga bertanyakan tentang pelajaran mereka.  Anda juga harus meluangkan masa untuk makan, menonton televisyen dan juga melakukan aktiviti beriadah bersama.  Perkara ini adalah amat penting bagi anak-anak untuk membuat mereka rasa disayangi dan untuk merasakan anda menambil berat tentang diri mereka. 

5.  Bina kenangan
Cubalah bina kenangan manis untuk anak-anak anda dengan membawa mereka bercuti semasa cuti sekolah, menghadiri aktiviti-aktiviti sukan yang mereka sertai, menyertai mesyuarat PIBG, menghadiri majlis penyampaian hadian dan apa-apa sahaja aktiviti yang anda boleh melibatkan diri dengan mereka.  Perkara-perkara tersebut pasti akan menjadikan anda seorang bapa yang disayangi dan dihormati.  Anak-anak anda pasti bangga dengan anda.

Sayangilah dan hargailah anak-anak anda.  Libatkanlah diri anda dalam mendidik anak-anak dan luangkanlah masa untuk mereka.  Jangan sesekali anda melepaskan tugas menjaga anak-anak ke bahu isteri semata mata.  Masa kanak-kanak adalah singkat, jika anda tidak merebut peluang ini untuk meluangkan diri bersama mereka, anda akan rugi dan menyesal kerana masa-masa beharga yang telah berlalu tersebut tidak boleh diundur kembali. 

5 comments:

Unknown said...

tp kan bapa skang baguss...xcam bapa dolu2...huhu

Unknown said...

terima kasih atas entry ni..
boleh buat panduan bila dah kawin esok2... ;)

KELI OH KELI said...

yaaaaaaa,,,,cempaka dah bagi tips yang bagus...t bila saya dah kawin n ada anak..saya mai cari balik kat blog ni....tq! ")

Cik TeN10 said...

ohh..sy sgt suka lelaki yg loving and caring..yg suka pd kanak2..=)

nisa said...

skrg kira okla bapak2/ayah/papa/ sume sbb banyak yg kira dh boleh jd rapat dgn anak, kalau dulu org anggap anak akan lebih rapat dgn ibu..tp skrg dua2 dh main peranan yg bagus..tp kalo baby nisa, haiqal memg xnak berlekang dgn saya...hehehe