Monday 30 May 2016

Ramadhan semakin hampir


Hari ini 30 May 2016, bersamaan 23 Syaaban 1437 Hijrah.  Ramadhan semakin hampir.  Ia akan menjelma tujuh hari lagi.  Semalam dan tadi, aku bersama adik ku Ila, ibu, anak-anak saudara ku iaitu Haziq, Hazim dan Farish bergotong royong membersihkan persekitaran rumah ibuku.  Sementara anakku, Zahin, anak saudara ku Hana, Fiya dan Alisa bermain masak-masak dan membuat kek di bawah pokok manggis beralaskan tikar getah dan bertemankan ubat nyamuk.

Ketika aku kecil dulu, alhamdulillah keluarga telah melatih ku berpuasa sejak aku kecil, sebelum tujuh tahun.  Umur sebenar aku tak ingat.  Bermula dengan puasa separuh hari, aku tingkatkan sedikit demi sedikit sehingga aku berjaya berpuasa penuh sehari.  Masa aku berumur tujuh tahun, aku telah berjaya puasa penuh sebulan.  Alhamdulillah.

Wednesday 25 May 2016

Kenangan bersama datuk saudara dan unyang

Kerana ayah selalu berjauhan dari kami sekeluarga, datuk saudaraku Zakaria bin Lamek mengambil peranan sebagai ketua keluarga kami.  Dia adalah seorang penoreh getah.  Keluar awal pagi demgan sebuah basikal tuanya dan pulang ke rumah lebih kurang pukul 12 tengahari.

Selain dari menoreh getah, datuk ada bercucuk tanam.  Dia menanam kacang tanah, jagung, kacang botol, tebu dan lain-lain.   Aku ada juga kadang-kala menemani beliau ke kebun.

 Kebiasaannya selepas waktu Zohor hingga ke petang, dia tidak keluar kemana-mana.  Dia banyak menghabiskan masa bersama kami .  Selalunya dia akan meminta saya mengurut belakang beliau, tarik urat belikat atau pijak belakang beliau.  Ada kalanya beliau meminta kami adik beradik mencabut uban beliau sambil berbaring.  Kebiasaannya kami akan tertidur beramai- ramai di ruang tamu.

Sunday 22 May 2016

Suatu masa dahulu.....

Kini umur ku sudah menjangkau 45 tahun.  Ingatan semasa zaman kecil ku semakin lama semakin pudar.  Oleh itu hari ini aku terfikir untuk merakamkan apa yang masih lagi berbaki.

Nama arwah nenek sebelah ayah ku adalah Rabiatul Adawiyah (Rabiah). Nama arwah datuk sebelah ayahku adalah Md. Nasir.  Sementara nama arwah nenek sebelah ibu ku adalah Khalsum binti Lamek dan arwah datuk sebelah ibuku adalah Nordin bin Namai.  

Apa yang masih ku ingat, masa aku kecil aku hidup bersama arwah Unyang sebelah ibu, arwah datuk saudara Zakaria bin Lamek dan ibu serta adik beradik.  Abangku yang sulung tindak tinggal bersama kami kerana dia dipelihara oleh nenek Rabiah.  Arwah ayah Ismail Nasaruddin bin Md. Nasir ketika itu bertugas sebagai askar.  Oleh itu dia jarang tinggal bersama kami kerana tugas.  

Friday 18 March 2016

Boboiboy The Movie




Pada hari Khamis lepas iaitu 17 Mar 2016 aku dan anak aku yang berumur 7 tahun pergi menonton cerita Boboiboy The Movie di The Strand Kota Damansara.  Aku bertuah kerana sampai pada pukul 11.00 pagi.  Pada masa tu tayangan pukul 11 belum mula.  Pawagam baru menayangkan iklan.  Jadi aku terus beli tiket,  1 untuk dewasa dan 1 untuk kanak-kanak dan segera masuk ke pawagam.

Friday 4 March 2016

The 39 Clues - The Clue Hunt

Grace Cahill adalah seorang yang sangat kaya dan semasa hidupnya beliau telah mengembara ke serata pelusuk dunia dan telah melalui pelbagai pengalaman yang mencabar.  Cerita ini adalah jenis "young adventure" dan ia bermula dengan kematian Grace Cahill yang telah merubah wasiatnya pada saat-saat akhir sebelum kematiannya.