Tuesday 31 May 2011

Rawatan dan fungsi berpantang selepas bersalin - Minum akar kayu dan jamu, makanan berkhasiat untuk yang berpantang

Minum akar kayu dan jamu

Semasa dalam tempoh berpantang, para ibu digalakkan minum air akar kayu dan jamu.  Ia dapat membantu menyihatkan badan di samping mengembalikan kesegaran sepanjang tempoh berpantang.  Ia juga dapat membantu mengecutkan rahim secara rawatan dari dalam.  Tetapi jika ada tanda-tanda anak anda tidak ingin menyusu badan dan mengalami cirit birit ketika anda mengamalkan meminum akar kayu dan jamu ini, sebaiknya  pengambilannya diberhentikan untuk kebaikan anak anda.

Makanan berkhasiat untuk yang berpantang

Pada minggu-minggu awal selepas bersalin eloklah memakan makanan yang kering bagi mengecutkan perut.  Elakkan makanan yang pedas, gatal, berlemak dan terlalu berminyak.  Elakkan juga meminum air yang terlalu banyak dan berais.  Meminum minuman tersebut ketika pantang bersalin dikuatiri akan menyebabkan urat dan peranakan menjadi kembang. 

Pada masa berpantang 44 hari ini sebaiknya diperbanyakkan memakan ulam-ulaman seperti pegaga, kunyit, halia, cekur, mengkudu dan sebagainya kerana ia mempunyai khasiat yang tinggi untuk tujuan rawatan semasa berpantang.

Semoga apa yang saya paparkan diatas ini dan di artikel-artikel sebelumnya dapat memberi ilmu dan manfaat sedikit sebanyak kepada pembaca semua terutamanya para bakal ibu.

Monday 30 May 2011

Rawatan dan fungsi berpantang selepas bersalin - Berurut dan mandian dedaun


Mandian dari dedaun dan  herba


Semasa dalam pantang, elakkan mandi terlalu kerap. Elakkan juga dari mandi air sejuk.  Sebaiknya mandi menggunakan air rebusan dedaun dan herba.  Antara daun yang boleh digunakan di dalam ramuan mandian tersebut adalah daun kunyit terus, daun legundi, daun secerek, daun pandan, daun lengkuas, daun serai wangi, daun pisang kelat, daun capa, daun inai, daun mengkudu dan rempah halba.

Mandian dari daun-daun tersebut dapat mengeluarkan angin dalam badan, mengendurkan otot yang tegang semasa proses bersalin, menghaluskan kulit dan juga dapat membantu untuk awet muda.

Berurut

Berurut adalah salah satu rawatan lepas bersalin yang amat penting.  Ia bertujuan untuk melancarkan pengeluaran darah nifas dan kekotoran, memulihkan kesegaran badan, melancarkan peredaran darah , membuang angin, membetulkan urat serta memperkemaskan bahagian perut.

Jika ingin mandi lepas berurut, hendaklah berehat dahulu sekitar 30 hingga 1 jam sebelum mandi untuk memberi ruang keadaan badan dan kulit kembali tenang selepas berurut.

Berurut ini sebaik-baiknya dilakukan selepas seminggu bersalin selama tiga hari berturut-turut.  Sebaiknya dilakukan di sebelah pagi.  Berurut pada waktu-waktu lain juga tak menjadi masalah.  Pastikan ianya dilakukan oleh bidan atau tukang urut berpengalaman untuk mengelakkan dari perkara tidak diingini berlaku.



Bersambung di artikel seterusnya.





Sunday 29 May 2011

Rawatan dan fungsi berpantang selepas bersalin - Pamakaian param dan pilis, berbengkung

Pemakaian param dan pilis


Param hendaklah disapukan keseluruh badan.  Ia bertujuan untuk mengelakkan badan dari masuk angin.  Pemakaian pilis di dahi pula adalah bertujuan untuk menghilangkan rasa pening yang sering dialami oleh wanita selepas bersalin.  Param dan pilis pada zaman sekarang ini mudah didapati kerana banyak syarikat menyediakan set selepas bersalin seperti Set Bersalin Ibu Halimah yang disediakan oleh Syarikat Jamu Mak Dara.



Berbengkung

Berbengkung adalah bertujuan untuk mengelakkan pengumpulan lemak di bahagian perut (untuk mengelakkan gejala buncit) dan juga pinggul (mengelakkan pinggul dari kendur).  Bengkung hendaklah di dengan ketat dan kemas bermula dari bahagian bawah payudara sehinggalah meliputi bahagian pinggul.  Pada masa sekrang juga banyak bengkung-bengkung yang dijual dipasaran yang mudah cara pemakaiannya.

Saturday 28 May 2011

Rawatan dan fungsi berpantang selepas bersalin - Bertangas

Bertangas

Bertangas bertujuan untuk mempercepatkan proses penymbuhan luka dan jahitan.  Ia juga mampu mengeringkan, mengetatkan dan mengecutkan rahim serta otot-otot yang kembang semasa proses mengandung dan bersalin.  Ia juga bagi mengelakkan prolapse ( keluar tombong).

Bahan-bahan yang digunakan untuk bertangas adalah seperti asam gelugur, garam jantan, daun sirih, daun inai, halia dan biji manjakani.  Bahan-bahan tersebut hendaklah direbus bersama air sehingga mendidih.  Lakukanlah proses bertangas ini selama lebih kurang 20 minit.  Untuk mendapatkan kesan kebaikan yang maksimum, lakukanlah bertangas ini selang dua atau tiga hari sehinggalah habis tempoh berpantang iaitu tempoh berpantang 44 hari.  Air rebusanyang telah sejuk jangan dibuang.  Gunakan ia sebagai air pencuci ( bercebok).


Friday 27 May 2011

Rawatan dan fungsi berpantang selepas bersalin - Bertungku

Berpantang selepas bersalin adalah satu proses pemulihan yang amat penting bagi wanita yang baru melahirkan anak.  Masyarakat Melayu biasa mengamalkan berpantang samada 44 hari atau 100 hari.  Rawatan pemulihan yang biasa dilakukan semasa berpantang yang sering diamalkan oleh masyarakat Melayu sejak turun temurun adalah seperti bertungku, berurut, bertangas, mandi air daun kayu herba, berpilis, memakai bengkung, minum air akar kayu dan jamu serta berpantang dari segi makan dan minum.  Dibawah ini saya sertakan fungsi dan kelebihan proses-proses berpantang tersebut.

Bertungku
  • Bertungku mampu menghangatkan badan si ibu, membuang angin, mengecutkan urat yang kembang selepas bersalin di samping memperbetulkan serta melancarkan perjalanan darah.  Biasanya darah nifas mengalir lebih lancar selepas bertungku.
  • Amalan ini boleh diteruskan hingga habis tempoh berpantang.  Kesan panas pada tungku mampu merawat bahagian badan semasa proses bertungku.
  • Proses bertungku dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar pangkal peha, berhampiran ari-ari/bawah pusat, diatas perut (bawah buah dada) serta tumit.
  • Balutkan tungku dengan daun herba seperti mengkudu atau daun sirih untuk kesan yang lebih baik.
Bersambung di artikel akan datang

Friday 20 May 2011

Khasiat daun sup


Dalam istilah saintifik, daun sup atau daun saderi dikenali sebagai Apium graveolens.  Ia adalah merupakan ramuan yang penting untuk masakan sup.  Ketiadaan daun sup dalam masakan sup adalah umpama tak menggunakan payung ketika berjalan meredah hujan......hmmm!!

Seperti tumbuhan lain, daun sup juga mempunyai pelbagai khasiat.  Antaranya adalah ia dapat menurunkan tekanan darah tinggi.  Cara yang boleh diamalkan untuk menurunkan tekanan darah tinggi adalah, ambil sedikit daun sup, hiris kecil-kecil dan tumbuk bersama sedikit gula.  Setelah ditumbuk lumat, campur kan sedikit air.  Kacau rata, tapis dan ambil airnya.  Amalkan meminum air daun sup ini tiga kali sehari untuk mendapatkan kesan yang optimum.  Cara lain yang lebih mudah adalah dengan merebus daun sup.  Amalkan meminum air rebusan ini tiga kali sehari.

Friday 6 May 2011

Anggur merah - cuci sistem pencernaan


Kajian International Chemical Congress, Honolulu mendapati bahawa anggur merah kaya dengan antioksidan.   Penelitian ini juga menunjukkan bahawa kandungan zat besi dan gulanya mampu mengeluarkan hampas atau kotoran tubuh yang dapat membantu melegakan pesakit buah pinggang, hati dan sistem pencernaan.

Selain dari itu, anggur juga dapat membersihkan darah sehingga dapat mencantikkan kulit.  Kandungan bahan kimia semulajadi di dalamnya mampu mencegah kanser kulit.  Anggur merah mengandungi 10 jenis plavonoid yang dapat menghambat enzim yang membunuh sel kanser serta menggalakkan reproduksi sel-sel tubuh.

Thursday 5 May 2011

Susu dan kanser payu dara


Adakah anda tahu bahawa dengan mengamalkan meminum susu sebanyak tiga gelas sehari bermula dari peringkat kanak-kanak hingga dewasa mampu mengurangkan wanita dari serangan kanser payu dara sebanyak dua kali ganda berbanding mereka yang tidak meminum susu?  Ia adalah benar. 

Sekumpulan penyelidik dari Institute of Community Medicine, Universitu Tromsi, Norway mendapati pengambilan tiga gelas susu atau lebih pada setiap hari dapat mengurangkan risiko kanser payu dara pada wanita pramenopaus yang berusia di antara 34 hingga 39 tahun, terutamanya mereka yang mengamalkan meminum susu sejak zakan kanak-kanak.

Wednesday 4 May 2011

Kentang halang enapan kolesterol


Kentang yang sering dicampur kedalam masakan seperti gulai masak lemak, kari, sup dan sebagainya mempunyai banyak khasiat.  Antara khasiatnya adalah potassium, vitamin C, kobohidrat kompleks, vitamin B1, B2 dan B3, protein dan zat besi. 

Jumlah lemaknya juga adalah sangat rendah isitu hanya 25 peratus.  Amalan memakan kentang mampu menghalang enapan kolesterol di dalam lapisan salur darah.  Kentang juga sesuai buat individu yang mengalami kekurangan gula dalam darah. 

Kajian mendapati jus kentang mentah boleh mengurangkan artritis dan radang otot.  Manakala luka kecil dan salah urat dapat dilegakan dengan menempelkan hirisan kentang selama 15 minit pada bahagian tersebut.

Monday 2 May 2011

Dapatkan kulit yang putih gebu dengan susu segar


Mempunyai kulit putih dan gebu adalah dambaan setiap manusia terutamanya kaum hawa yang memang prihatin tentang kecantikan.  Susu segar dapat menyumbang untuk mendapatkan kulit seperti yang diimpikan.  Caranya adalah : 

Ambil sedikit susu segar dan sapukan kepada keseluruhan wajah dan juga tubuh jika mahu.  Gosokkan rata dan biarkan sehingga kering.  Cuci muka dan tubuh anda dengan air suam.  Amalkannya dua kali seminggu.  Insyaallah anda akan mendapat kulit wajah dan tubuh yang putih dan gebu seperti yang diimpikan.

Ayam masak cili padi


Bahan-bahan:
  • 5 ketul ayam
  • 1/2 kilogram santan
  • Sebatang serai (diketuk)
  • 5 ulas bawang putih
  • 5 ulas bawang merah
  • 20 tangkai cili padi
  • 1 keping asam gelugur (asam keping)
Cara membuatnya:
  1. Panaskan minyak
  2. panaskan semua bahan hingga garing
  3. Masukkan serai dan asam gelugur
  4. Apabila bahan yang ditumis dah naik bau dan cukup masak, masukkan ayam dan santan.
  5. Masak sehingga ayam empuk.

Sunday 1 May 2011

Nasi Minyak


Bahan-bahan:
  • 1/4 cawan minyak sapi
  • 2 labu bawang putih (dicincang)
  • 4 labu bawang besar (dihiris)
  • 4 kuntum bunga cengkih
  • 5 cm kayu manis
  • 6 biji buah pelaga
  • 2 cawan beras (basuh dan ditoskan)
  • 2 cawan air
  • 1 cawan susu cair
  • 1/2 cawan kismis
Cara membuatnya:
  1. Bawang besar dan bawang putih digoreng dengan minyak sapi.
  2. Masukkan semua rempah dan goreng selama 5 minit.
  3. Masukkan beras, air, susu cair dan biarkan sampai kering.
  4. Masukkan kismis, kacau rata dan tanak hingga masak.
  5. Bila hendak dihidang, taburkan bawang goreng di atasnya.