Saturday 31 August 2013

Lemah kawalan kencing (Inkontinens)

Secara umunya, pundi kencing boleh menampung sehingga 500 mililiter air kencing.  Apabila jumlah air kencing bertambah, pundi kencing akan mengembang secara perlahan-lahan dan kebanyakan kita akan merasa ingin membunag air kecil apabila pundi kencing berisi separuh penuh (kira-kira 250 mililiter).  Apabila pundi kencing perlu dikosongkan, otot dinding pundi kencing mengecut dan otot pada uretra berehat.  Ketika ini air kencing dapat dikeluarkan.

Bagi orang dewasa, kebiasaannya pembuangan air kecil boleh dikawal dan dilakukan pada masa dan tempat yang sesuai.  Kekerapan pembuangan air kecil berbeza mengikut individu.  Pada umumnya apabila perlu pergi ke tandas melebihi 8 kali dalam tempoh 24 jam, ia dianggap tidak normal dan kemungkinan besar mereka mengalami masalah inkontinens.

Inkontinens atau lemah kawalan kencing adalah merujuk kepada masalah pembuangan air kecil yang tidak terkawal.  Ia pasti mengganggu kelancaran kehidupan harian kepada pengidapnya terutama apabila meninggalkan rumah untuk aktiviti sosial seperti pergi ke kenduri kendara, menonton wayang, pergi ke Dataran Merdeka untuk menyambut Hari Kemerdekaan dan sebagainya.  Masalah ini makin dirasai apabila sukar mencari tandas di kawasan tersebut.

Jenis inkontinens:

1.  Inkontinens jenis tekanan (stres)
  •  Mengalami kebocoran air kecil ketika batuk, bersin, ketawa, bersenam, mengangkat bebanan dan melakukan aktiviti berat.
  • Melahirkan anak dan menjalani sesetengah pembedahan juga boleh melemahkan lantai otot pelvik yang menyebabkan kebocoran urin ketika bahagian abdomen mengalami tekanan. 
2.  Inkontinens jenis desakan
  • Wujud perasaan 'tidak sempat ke bilik air'.  Selalunya disebabkan pundi kencing terlebih aktif.  
  • Ia adalah akibat dari jangkitan kuman yang menyebabkan radang kepada pundi kencing atau salur keluar pundi kencing yang menyebabkan spasma (pengecutan otot luar kawalan) yang memaksa pengeluaran air kencing dari pundi kencing.
  • Pengidap sembelit juga boleh mengalami masalah ini akibat dari kehilangan keupayaan mengawal otot.
  • Juga dialami oleh orang yang mengalami strok, kecederaan spinal cord (saraf tunjang), nyanyuk, parkinson dan ultiple siderosis.
3.  Inkontinens jenis campuran
  • Untuk mereka yang mengalami kedua-dua perkara diatas iaitu inkontinens jenis tekanan dan jenis desakan.
4.  Inkontinens jenis melimpah
  • Ini dialami oleh seseorang yang tiada deria rasa atau desakan untuk kencing,  atau mengalami salur kencing tersumbat.  Dalam kedua-dua keadaan ini, pundi kencing tidak dapat dikosongkandengan sepenuhnya sehingga air kencing di dalam pundi kencing berkebihan (over loaded).  Oleh itu air kencing akan terkeluar sendiri.  
  • Lemah kawalan kencing jenis ini sering berpunca dari masalah sistem saraf dan kecederaan pada saraf otot saraf tunjang.
5.   Inkontinens disebabkan penggunaan ubat
  • Ada ubat yang boleh menyebabkan kegagalan kawalan kencing iaitu ia menghalang pengecutan otot dan menghalang isyarat daripada pundi kencing yang penuh kepada otak.  Dalam keadaan jenis ini, doktor mungkin akan menukar jenis ubat yang diambil kebi mengurangkan kesan sampingan.
Cara rawatan:
  • Kebanyakan gejala lemah kawalan kencing ini boleh dirawat dengan melakukan senaman lantai pelvis, pembedahan dan pengambilan ubat. 


Sumber :  Harian Metro 28 Julai 2013


No comments: