Kekejangan pada otot kaki yang terjadi terutamanya pada waktu malam adalah amat menyakitkan. Ianya berlaku apabila bahagian kaki terutamanya betis rasa sakit yang mencengkam. Ia boleh berlaku pada bila-bila masa terutama pada waktu malam ketika tubuh dalam keadaan tenang. Masalah kekejangan otot pada waktu malam ini meningkat seiring dengan peningkatan usia dan mengganggu tidur seseorang.
Wanita mengandung juga mempunyai pelung tinggi untuk mengalami kekejangan otot terutama ketika usia kandungan mencecah trimester kedua.
Menurut pakar perubatan iaitu Dr. David Katz iaitu pengasas Pusat Kajian Pencegahan Penyakit di Universiti Yale, Amerika Syarikat, masalah kekejangan kaki berasal dari otot betis yang kadangkala membawa ke bahagian kaki dan peha. Puncanya tidak dapat dipastikan, tetapi pada amnya ia berkaitan dengan masalah saraf dan keletihan pada otot.
Kekurangan sumber mineral seperti kalium (potassium), kalsium dan magnesium yang diperlukan untuk kontraksi dalaman juga boleh menyebabkan keterujaan pada saraf meningkat yang menyumbang kepada kekejangan otot.
Untuk mengurangkan dan mengelakkan masalah kekejangan otot ini dari berlaku, banyakkan memakan makanan yang kaya dengan mineral iaitu seperti ddih rendah lemak, bayam, kekacang dan kacang dal yang kaya dengan kalium.
Pisang, bijirin, beras perang dan badam pula kaya dengan magnesium, sementara hasil tenusi pula kaya dengan kalsium.
Untuk mengelakkan kekejangan, pastikan juga badan mendapat bekalan air yang mencukupi untuk memastikan sistem badan mempunyai bekalan cecair yang mencukupi untuk ia berfungsi dengan optimum kerana kekurangan cecair badan juga menyumbang kepada risiko menghadapi kekejangan otot.
Apabila terjadinya kekejangan pada otot kaki, beberapa perkara boleh dilakukan untuk mengurangkannya iaitu:
- Regangkan kaki setakat mana yang selesa. Tahan posisi regangan itu selama 30 saat dan biarkan kaki seperti biasa. Ulang dua hingga tiga kali sehingga sakit mulai susut.
- Berdiri menghadap dinding pada jarak 30 inci. Pastikan kaki rata pada lantai. Gerakkan tubuh kedepan sambil tangan menahan dinding. Bengkokkan kaki perlahan-lahan.
- Jika masih terasa kejang selepas melakukan senaman ringan tersebut, bersiri di atas hujung kaki seperti menjungkit. Langkah ini dapat mengurangkan kekejangan dengan segera.
Semoga artikle ini dapat memberikan informasi yang bermanfaat kepada pembaca.
* Sumber : Harian Metro Isnin 19 Ogos 2013.
No comments:
Post a Comment