Wednesday, 25 May 2016

Kenangan bersama datuk saudara dan unyang

Kerana ayah selalu berjauhan dari kami sekeluarga, datuk saudaraku Zakaria bin Lamek mengambil peranan sebagai ketua keluarga kami.  Dia adalah seorang penoreh getah.  Keluar awal pagi demgan sebuah basikal tuanya dan pulang ke rumah lebih kurang pukul 12 tengahari.

Selain dari menoreh getah, datuk ada bercucuk tanam.  Dia menanam kacang tanah, jagung, kacang botol, tebu dan lain-lain.   Aku ada juga kadang-kala menemani beliau ke kebun.

 Kebiasaannya selepas waktu Zohor hingga ke petang, dia tidak keluar kemana-mana.  Dia banyak menghabiskan masa bersama kami .  Selalunya dia akan meminta saya mengurut belakang beliau, tarik urat belikat atau pijak belakang beliau.  Ada kalanya beliau meminta kami adik beradik mencabut uban beliau sambil berbaring.  Kebiasaannya kami akan tertidur beramai- ramai di ruang tamu.


Waktu malam pula selepas maghrib biasanya waktu membaca al-Quran.  Ibu akan mengajar kami adik-beradik membaca al-Quran manakala beliau pula membaca al-Quran sendiri.  Waktu itu belum kami belum ada lagi televisyen.  Cuma ada radio kecil.  Itu sajalah peneman untuk mendengar lagu-lagu lama.  Artis kegemaran datuk saudara ku itu adalah S.M. Salim.  Waktu malam selebih nya biasanya waktu Unyangku atau ibuku bercerita cerita-cerita dongeng seperti cerita gergasi, cerita puteri kayangan, puteri bongsu dan macam-macam lagi,

Waktu malam biasanya adalah waktu datuk saudara ku mengasah pisau motong getah.  Cara mengasah nya memang agak unik kerana pisau tersebut bengkok, tak macam pisau biasa.  Waktu malam ketika aku telah tidur, kadang-kadang aku terjaga dan mendengar datukku mengaji al-Quran.  Alunan suaranya memang sedap.





No comments: