Thursday, 22 November 2012

Cara tradisional untuk menguatkan tulang

Petua yang akan saya sampaikan ini adalah sangat sesuai untuk orang yang mengalami patah tulang, tulang reput dan juga kanak-kanak yang mempunyai struktur tulang yang tidak kuat.  Petua ini disampaikan kepada saya oleh pengamal perubatan tradisional dan tukang urut iaitu Pakcik Nan dari Sungai Pelong, Sungai Buloh Selangor.

Cara-caranya adalah, untuk kanak-kanak, campurkan 7 ranting pokong tulang-tulang dan 1 sudu kecil halba.  Rebuskan bahan tersebut bersama sedikit air.  Apabila air tersebut telah sejuk, beri kanak-kanak tersebut minum.  Amalkan sekurang-kurangnya 21 hari atau lebih.  Insyaallah tulang kanak-kanak tersebut akan bertambah kuat dari sehari ke sehari.

Untuk orang dewasa yang mengalami masalah patah tulang dan sebagainya pulapula, gunakan sukatan yang lebih dari itu.  Amalkan juga selama sekurang-kurangnya 21 hari.

Wednesday, 21 November 2012

Cara tradisional untuk melegakan demam panas

Demam panas adalah sesuatu yang merbahaya kepada kanak-kanak mahupun kepada orang dewasa.  Ia boleh menyebabkan pengidap mengalami masalah down sindrom, merencatkan pembesaran tubuh badan, mengganggu sistem saraf dan juga mengganggu fungsi otak.  Tindakan pantas perlu diambil apabila anda mendapati anak anda atau anda sendiri mengalaminya.

Di sini saya ingin berkongsi dengan anda cara-cara untuk melegakan demam panas cara tradisional.  Petua ini diberikan oleh Pakcik Nan iaitu seorang tukang urut dan pengamal perubatan tradisional dari Sungai Pelong, Sungai Buloh, Selangor.  Petuanya adalah, ambil beberapa helai daun rambutan, beberapa helai daun durian dan beberapa helai daun resam.  Daun-daun tersebut hendaklah diramaskan kedalam setengah baldi air.  Setelah dibuang hampas daun dan ditapis, air tersebut hendaklah dibuat sebagai bilasan terakhir mandi.  Biarkan air tersebut kering di badan.  Insyaallah ia akan dapat meredakan demam panas.
Walaupun telah mandi air dedaun ini, kanak-kanak atau pengidap demam panas tersebut hendaklah juga bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Saturday, 10 November 2012

Rahsia membina kejayaan dalam perniagaan

Di sini ingin saya kongsikan sedikit dari ilmu yang saya dapat semasa menghadiri Seminar Jutawan Industri yang diadakan pada 4 november 2012.  

Anda mungkin ada banyak idea perniagaan yang anda ingin lakukan tetapi tak tahu bagaimana dan di mana hendak dimulakan.  Untuk memastikan idea perniagaan anda menjadi tindakan, anda haruslah mengikuti system MESTI..iaitu :

1.  Mentor
  • Mesti ada mentor yang memang dah berjaya melakukan perniagaan tersebut.  Tanpa mentor, anda akan gagal banyak kali sebelum menemui cara yang betul untuk melakukan sesuatu perniagaan.  
2.  Elmu (Ilmu)
  • Mesti dapatkan ilmu dari orang yang betul.  Bila kita bertanya pada orang yang salah, kita akan dapat jawapan yang salah.  Sebagai contoh:  Kita hendak mendaki gunung dan kita bertanya kepada jiran sebelah rumah yang langsung tidak pernah mendaki gunung.  Jiran kita ada kemungkinan besar tidak menyokong tindakan kita itu kerana menganggap tindakan mendaki gunung itu adalah satu tindakan yang tidak berfaedah. Ada kemungkinan juga kita akan ditertawakan dengan idea kita itu.

Monday, 5 November 2012

Pengalaman menghadiri Seminar Jutawan Industri 2012

Semalam iaitu 4 November 2012 saya telah menghadiri Seminar Jutawan Industri 2012 bersama kakak (Shahridah) dan adik saya (Shahliha @ Lily).  Dengan keadaan kami yang tak berapa mahir dengan jalan-jalan dan tempat-tempat di Kuala Lumpur dan dengan keadaan Wisma MCA agak tersorok oleh bangunan-bangunan yang tinggi di sekelilingnya, akhirnya kami selamat juga sampai ke destinasi sekitar jam 8.25 pagi.  Perasaan gembira dan bersyukur terbit di hati saya kerana akhirnya kami telah selamat sampai.  Ketika itu tak sabar rasanya untuk merasai dan mengalami sendiri pengalaman menghadiri seminar Dr. Azizan Osman iaitu jurulatih kejayaan No. 1 yang terkemuka.

Setelah kami meletakkan kereta di bawah bangunan Citibank, kami berjalan kaki ke Wisma MCA yang terletak bersebelahan bangunan tersebut. Sesampai kami disana, dewan MCA telah dipenuhi dengan ramai peserta seminar.  

Monday, 22 October 2012

Aksesori baru tablet anak saya

Saya selalu membawa anak saya yang berumur 3 tahun ke tempat suami saya berniaga iaitu di Bukit Jelutung Shah Alam.  Di sana tiada kanak-kanak yang sebaya dengannya untuk bermain.  Oleh itu saya bekalkannya Tablet sebagai peleka ketika kami menjalankan perniagaan.

Kebiasaannya tablet itu digunakan untuk bermain permainan sambil belajar 'Baby Bus' dan juga untuk menonton Televisyen.  Selain dari itu ia juga digunakan untuk menonton cerita kartun seperti Snow White, Cinderella, Mickey Mouse Clubhouse dan banyak lagi di Youtube.

Kadangkala kualiti audio cerita-cerita yang disiarkan di Youtube adalah rendah dan sangat perlahan untuk didengar terutamanya ketika suasana sibuk dan ramai orang.  Oleh itu saya terfikir untuk membeli speaker tambahan untuk tablet tersebut.

Semalam (21 Oktober 2012) saya telah menemani adik saya ke Alam Sentral, Shah Alam untuk mencari aplikasi yang diperlukannya untuk Forex Forum dan blog.  Dalam perjalanan balik (masih di Alam Sentral) kami telah tertarik dengan satu kedai yang mempamerkan berbagai jenis speaker kecil dan comel.  Harga yang ditawarkan juga amat berpatutan.  Setelah  meneliti reka bentuk dan mendengar kualiti audio spekar-speaker tersebut kami membuat keputusan untuk membeli speaker yang mempunyai kualiti 'base' yang sedap didengar.  Nak tahu macam mana rupa spekar yang saya beli?

Saturday, 20 October 2012

Cara Neil Patel Bangunkan Business Internet


Neil Patel adalah seorang usahawan internet yang berjaya dan pakar dalam pemasaran SEO.  Beliau adalah pengasas dua laman web iaitu CrazyEgg dan KissMetriks.

Berikut adalah 5 prinsip perniagaan beliau:

1.  Buat duit secepat mungkin
  • Duit adalah amat penting untuk perniagaan kita terus bernafas.  Adalah penting untuk kita memperoleh duit dalam masa yang singkat selepas kita membuat keputusan untuk membangunkan sebuah perniagaan.
2.   Blog sebagai pemikat pelanggan
  • Blog tersebut mestilah menggunakan blog berbayar iaitu menggunakan domain.com sendiri.  Dengan hanya fokus kepada blogging, keuntungan yang boleh didapati adalah berlipat kali ganda.  
  • Blog adalah alat pemasaran berkos rendah.  Maklumat yang boleh diterbitkan diblog adalah:
    1. Cara menggunakan produk kita
    2. Diari perniagaan semasa 
    3. Penerbitan testimonial-testimonial pelanggan.

Wednesday, 17 October 2012

5 ilmu emas dalam bidang pemasaran

Apabila saya mengetahui bahawa pemilik syarikat Haniz Frozen Food iaitu Yuhaniz Mohd Satari (rujuk artikle 16 Oktober 2012) dapat mengembangkan, memajukan dan melebarkan sayap perniagaannya dengan begitu pesat sekali dan dalam masa yang singkat dengan mengamalkan ilmu yang didapatinya dari Seminar yang dianjurkan oleh En. Azizan, saya terpanggil untuk menyetahui apakah rahsia di sebaliknya.  Oleh itu saya membaca Majalah Niaga Edisi Khas yang menemubual En. Azizan Osman.

Di bawah ini adalah isi-isi penting yang boleh kita dapati dan simpulkan dari temubual tersebut:

  1. Bagaimana sebuah perniagaan boleh mendapat untung 1 juta dengan hanya menggunakan teknik pemasaran berkos rendah.
  2. 3 jenis bidang perniagaan untuk golongan yang masih keliru tetapi mempunyai niat memiliki perniagaan.
  3. Prinsip hidup En. Azizan Osman yang menyebabkan mentee-menteenya mencapai status jutawan dalam bidang yang diceburi.
  4. Bagaimana satu sikap yang dikongsikan beliau dapat menjadikan sesiapa sahaja yang hidup biasa-biasa menjadi luar biasa.
  5. Stratergi-stratergi pemasaran berkesan yang mudah dipraktikkan dalam kurang 60 saat.

Friday, 12 October 2012

Kanser serviks (Barah pangkal rahim)


Merujuk kepada artikle yang ditulis oleh Hidayatul Akmal Ahmad di Metro Ahad 30 September 2012, kanser serviks atau barah pangkal rahim adalah kanser ketiga paling kerap dikesan di kalangan wanita.  Golongan yang berisiko tinggi adalah yang berumur 45 hingga 60 tahun.  Selain dari itu, mereka yang sering bertukar-tukar pasangan dalam melakukan hubunan seks juga mempunyai risiko yang tinggi.

Tanda dan gejala kanser serviks
  • Pendarahan ketika melakukan hubungan seks
  • Pendarahan pada pertengahan bulan
  • Pendarahan selepas menopaus
  • Keluar lendir berdarah yang busuk dari faraj
  • Sakit ketika melakukan hubungan seks

Monday, 8 October 2012

Khasiat teh


Menurut artikel yang ditulis oleh Faizatul Farlin Farush Khan di Harian Metro 4 Oktober 2012, semua jenis teh sama ada teh hijau, hitam, merah mahupun putih mempunyai banyak khasiat.

Teh mengandungi bahan antioksidan yang tinggi.  Ia juga mengandungi vitamin C dan E serta keratenoid dan flavonoid.  Bahan-bahan tersebut mampu mewujudkan pertahanan dan perlindungan kepada kulit dari elemen-elemen yang boleh merosakkannya iaitu dari persekitaran dan pemakanan. 

Peranan vitamin C yang mengurangkan pengeluaran pigmen melanin kulit dan membantu proses sintesis kolegen dapat menjadikan kulit lebih cerah dan berseri serta dapat mengurangkan kedutan dan memperbaiki struktur kulit.

Vitamin E pula adalah antioksiden yang berkuasa dan mampu menghalang radikal bebas dari bertindak merosakkan kulit.  Keupayaannya memperbaiki tekstur kulit turut diperkuatkan dengan kehadiran vitamin C.

Sunday, 7 October 2012

Penyakit jantung - Peragut nyawa nombor 1

Mengikut maklumat yang saya baca dari Metro Sihat bertarikh 30 September 2012, ke dua-dua lelaki dan wanita mempunyai risiko yang sama untuk menghidap penyakit jantung iaitu penyakit nombor 1 yang menyebabkan kematian di seluruh dunia.  Wanita jarang mendapat penyakit jantung ketika masih subur kerana mereka dilindungi oleh hormon estrogen yang tinggi.  Ketika telah mamasuki farsa menopaus, risiko mereka untuk menghidapi penyakit jantung adalah sama dengan lelaki.

Faktor paling tinggi yang menyumbang kepada penyakit jantung ialah penyakit diabetes mellitus (gangguan metabolisma karbohidrat yakni apabila gula dalam tubuh tidak dioksidasikan untuk menghasilkan tenaga kerana kekurangan hormon pankreas insulin) yang menjadi 'ibu' kepada penyakit kardiovaskular.

Pesakit-pesakit jantung ini pada peringkat awal, ramai yang kurang menyedari mereka menghidapi penyakit tersebut kerana ia tidak memberi isyarat awal dan sukar untuk dikesan.  Simptom-simptom awal juga adalah berbeza.  Ada yang kebas tangan kiri hingga ke tengkuk dan kadangkala hingga ke bahagian tengah dada.  

Thursday, 5 July 2012

Sambal tumis sotong

Bahan-bahan:

Sepiring sotong, di potong dan dibersihkan
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
3 sudu cili kering yang telah di kisar
1 keping asam gelugur
1/2 sudu pes tomyam
minyak untuk menumis
air secukupnya
Gula secukup rasa
Garam secukup rasa

Cara membuatnya:
1.  Tumiskan bawang besar dan bawang putih hingga wangi.
2.  Masukkan cili kisar dan tumis hingga wangi.
3.  Masukkan sotong, kacau rata dan tutup dengan tudung periuk.  Biarkan seketika dalam anggaran 1 minit.
4.  Bukak tudung periuk, kacau sotong , dan campurkan sedikit air.  Biarkan ia merenih seketika.
5.  Masukkan asam gelugur, gula dan garam secukup rasa.  Kacau rata.
6. Masukkan pes tomyam dan kacau lagi.
7.  Bagi yang suka masakan ini agak kering, masak hingga pekat kuahnya.  Bagi yang suka masakan ini berkuah, boleh juga tambahkan sedikit air lagi.
8.  Apabila sudah cukup pekatnya, sudah cukup rasa manis masinnya, boleh la diangkat dan dihidangkan.


Tuesday, 3 July 2012

Ayam masak kombinasi

Resepi ini tercetus bila saya sudah bosan dengan masakan ayam masak tomyam yang biasa.  Oleh itu saya melakukan sedikit ubah suai terhadap resepi tersebut:

Bahan:

Ayam - anggaran sepiring hidangan
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
4 tangkai cili kering - di potong-potong
1 sudu pes tomyam
1 sudu sos tiram
Lada sulah sesedap rasa
Minyak masak secukupnya
Garam secukupnya

Cara membuatnya:
1.  Tumiskan bawang besar, bawang putih dan cili kering sehingga naik bau.
2.  Masukkan pes tomyam dan sos tiram - kacau hingga rata.
3.  Masukkan sedikit air, kacau dan biarkan sebentar hingga ayam masak.
4.  Bila ayam sudah masak dan air tinggal sedikit, masukkan lada sulah dan kacau.  Biarkan sebentar dan bolehla dingakat dan dihidangkan.

Jika suka, boleh juga campurkan sayur-sayur kegemaran kedalam masakan tersebut.

Thursday, 5 April 2012

Senaman untuk mengempiskan perut



Salah seorang kawan lelaki kepada suami saya seorang yang berbadan tegap persis seorang yang serinng melakukan senaman di gim.  Dia mempunyai perut yang kempis walaupun umur telah mencecah usia 60-an.   Dia telah berkongsi cara senaman yang dia lakukan untuk mengempiskan perut.

Cara senaman ini boleh dilakukan dirumah sekali pada waktu pagi dan sekali pada waktu petang.  Alat yang perlu adalah hanya sebatang kayu mop lantai.  Apa yang perlu anda lakukan adalah...letakkan kayu tersebut diatas bahu dan depangkan tangan dengan meletakkan tangan diatas kayu mop tersebut.  Pusingkan badan sebanyak 90 darjah ke kanan sebanyak 50 kali.  Setelah selesai pusingkan pula badan ke kanan sebanyak 50 kali.  Semasa melakukan pergerakan ini, kedudukan kaki hendaklah berada di kedudukan yang tetap.  Apa yang bergerak adalah di bahagian pinggang ke atas. 

Lakukan senaman ini dua kali sehari iaitu sekali di sebelah pagi dan sekali di sebelah petang. Lakukanlah dengan konsisten untuk mendapatkan kesan yang optimum.

Di harap dengan melakukan senaman ini pembaca semua akan memperolehi perut yang kempis dan cantik.


Saturday, 31 March 2012

Tips mengelakkan biskut lemau (masuk angin)


Bayangkan anda sedang bercuti dan membeli makanan untuk dimakan di  hotel.  Selepas makan sebahagiannya, masih ada lagi biskut berbaki dan anda tiada membawa bekas kedap udara untuk menyimpan baki biskut tersebut.  Anda juga tiada tali atau getah untuk mengikat plastik bagi mengelakkan dari ia lemau.

Adakah anda tau.  Salah satu cara untuk mengelakkan biskut menjadi lemau adalah dengan menyimpannya di dalam peti sejuk di bahagian peyimpanan barang di bahagian bawah sekali.  Saya sendiri telah mencubanya dan ianya berkesan.  

Cara untuk mengelakkan biskut dari menjadi lemau ini telah diberikan oleh adik ipar saya iaitu Yusri ketika kami bersama-sama bercuti di Port Dickson pada 10 hb Mac 2012 tempoh hari.  Mula-mula saya rasa kurang percaya.  Setelah menyimpan biskut itu semalaman di dalam peti sejuk yang disediakan di hotel tempat kami menginap , keesokan harinya saya dapati biskut tersebut masih rangup seperti asalnya.

Di harap tips ini dapat membantu dan berguna untuk semua pembaca.