Bagi orang dewasa, kebiasaannya pembuangan air kecil boleh dikawal dan dilakukan pada masa dan tempat yang sesuai. Kekerapan pembuangan air kecil berbeza mengikut individu. Pada umumnya apabila perlu pergi ke tandas melebihi 8 kali dalam tempoh 24 jam, ia dianggap tidak normal dan kemungkinan besar mereka mengalami masalah inkontinens.
Inkontinens atau lemah kawalan kencing adalah merujuk kepada masalah pembuangan air kecil yang tidak terkawal. Ia pasti mengganggu kelancaran kehidupan harian kepada pengidapnya terutama apabila meninggalkan rumah untuk aktiviti sosial seperti pergi ke kenduri kendara, menonton wayang, pergi ke Dataran Merdeka untuk menyambut Hari Kemerdekaan dan sebagainya. Masalah ini makin dirasai apabila sukar mencari tandas di kawasan tersebut.