Sunday, 22 May 2016

Suatu masa dahulu.....

Kini umur ku sudah menjangkau 45 tahun.  Ingatan semasa zaman kecil ku semakin lama semakin pudar.  Oleh itu hari ini aku terfikir untuk merakamkan apa yang masih lagi berbaki.

Nama arwah nenek sebelah ayah ku adalah Rabiatul Adawiyah (Rabiah). Nama arwah datuk sebelah ayahku adalah Md. Nasir.  Sementara nama arwah nenek sebelah ibu ku adalah Khalsum binti Lamek dan arwah datuk sebelah ibuku adalah Nordin bin Namai.  

Apa yang masih ku ingat, masa aku kecil aku hidup bersama arwah Unyang sebelah ibu, arwah datuk saudara Zakaria bin Lamek dan ibu serta adik beradik.  Abangku yang sulung tindak tinggal bersama kami kerana dia dipelihara oleh nenek Rabiah.  Arwah ayah Ismail Nasaruddin bin Md. Nasir ketika itu bertugas sebagai askar.  Oleh itu dia jarang tinggal bersama kami kerana tugas.  


Kenangan bersama ayah tak banyak.  Apa yang ku ingat, sesekali ayah ku akan pulang ke rumah membawa keperluan dapur seperti milo, susu, beras, gula dan lain-lain lagi keperluan harian.  Tiap-tiap kali ayah balik membawa keperluan tersebut, kami akan berkumpul minum beramai-ramai. Ayah, ibu, Kak Ida, aku dan adikku Ila. Yang lain-lain belum lair lagi. Saat-saat seperti itu adalah kenangan yang mengembirakan yang masih ku ingat sampai sekarang.

Kenangan bersama Unyang yang masih ku ingat adalah, biasanya tiap-tiap malam dia akan bercerita sama ada cerita dongeng zaman dulu-dulu atau sejarah keluarga.  Ingatan tentang itu semakin pudar kerana berlaku sebelum umurku menjangkau tujuh tahun, kemungkinan ada banyak kesilapan fakta mungkin berlaku.



Apa yang pernah diceritakan adalah, ayah Unyang ku adalah Raja Pagar Ruyung.  Dia berjumpa dengan ibu Unyang ku semasa dia pergi ke Pahang.  Semasa dia pergi ke Pahang, dia telah terpikat dengan anak perempuan ketua kampung yang dilawatinya dan berkahwin dengan wanita itu dan membawanya ke Pagar Ruyung dan hidup di sana.  Ibu Unyang ku adalah isteri bongsu.  Raja tersebut mempunyai isteri lain selain dia.  Aku tak tau berapa orang.  Tiap-tiap isteri diberikan sebuah tengkolok raja.  

Pada suatu hari, pada hari keramaian, semua isteri dikehendaki membawa tengkolok tersebut. pada hari tersebut, Isteri bongsu telah kehilangan tengkolok tersebut.  Ada kemungkinan ianya dicuri.  Apabila Raja mengetahui hal tersebut, beliau sangat murka.  Isteri bongsu, keluarga serta anaknya (iaitu Unyang) telah di buang negeri.  Aku tak tau sama ada Unyang ku ada adik-beradik lain ke tidak.  Mereka semua mengambil keputusan belayar ke Semenanjung.  Tempat tujuan sebenar aku tak tau.  Apa yang ku tahu, kampung Unyang ku dulu adalah Salak.  Keluarga sebelah unyang ku ramai di sebelah salak dan Beranang, Selangor.

Apa yang ku ingat tentang Unyang ku ialah, dia seorang yang baik hati, tak pernah marah serta rajin membersihkan keliling rumah.  Bila ada kelapangan aku akan menolong Unyang.  Unyang ku pernah berkata pada ibu, kalau dari segi mengapu laman, Ila kerjanya kemas, bersih.  

Apa lagi yang pernah ku ingat dulu ialah, Unyang ku ada kebun buah di Salak.  Ayah, ibu dan kami semua selalu pergi ke sana masa musim buah.  Adik ibu iaitu Daud dan Jusa pun pergi jugak.  Mereka pergi sendiri.  Aktiviti yang paling menarik adalah aktiviti rebut buah durian.  Apabila dengar jer bunyi durian jatuh, semua orang akan berlari mengejar ke arah bunyi tersebut.  Siapa yang berjaya membawa balik durian akan menunjukkan buah durian tersebut dengan tersenyum lebar dan bangga....walau tiada hadiah yang diberikan.  Seronoknya kenangan tu.

Setakat ini dahulu ya!...nanti sambung lagi.






No comments: