Ketika aku kecil dulu, alhamdulillah keluarga telah melatih ku berpuasa sejak aku kecil, sebelum tujuh tahun. Umur sebenar aku tak ingat. Bermula dengan puasa separuh hari, aku tingkatkan sedikit demi sedikit sehingga aku berjaya berpuasa penuh sehari. Masa aku berumur tujuh tahun, aku telah berjaya puasa penuh sebulan. Alhamdulillah.
Apa yang ku masih ingat sampai sekarang adalah, kenangan berbuka puasa bersama ibu, unyang, datuk saudara dan kakak. Bila ku fikirlan semula, kenangan itu adalah sebelum atau pada tahun 1976 kerana unyang ku meninggal ketika adik ku Izam belum pun berumur dua bulan, Pada tahun 1976 aku baru berumur 5 tahun. Aku masih ingat yang aku, ibu, ayah dan adik beradik (tak termasuk abang), pergi ke Salak pada hari pengkebumian unyang dengan menaiki kereta.
Kenangan ketika bulan puasa yang masih ku ingat adalah, biasanya datuk saudara akan memberikan tugas kepada kami untuk mengumpulkan tin-tin susu kosong. Tin-tin susu tersebut kemudian dibersihkan dan dihjadikan pelita. Beliau juga pergi ke ladang getah di belakang rumah untuk mengambil kayu anak getah untuk dibuat pancang tempat menggantung pelita. Bila semua telah siap, pelita akan digantungkan keliling rumah sehinggalah ke kiri dan kanan jalan yang menuju ke rumah jiran berdekatan.
Suasana seminggu Ramadhan terakhir sangat meriah. Biasanya ayah akan membeli bunga api dan mercun untuk kami. Aku masih ingat aku pernah bermain mercun katak, mercuh das, mercun yang berpusing ketika di bakar dan sebagainya. Ada sejenis mercun yang sangat menarik ketika itu. Bila di bakar, ia akan terbang, kemudian ada patung askar yang terjun turun menggunakan payung terjun. Patung askar berpayung terjun itu ku simpan sebagai mainan.
Kenangan manis semasa kanak-kanak adalah antara kenangan yang paling indah. Aku harap anak ku dan anak-anak saudara ku juga akan mempunyai kenangan indah mereka sendiri. Aku ingin mereka merasakan kemeriahan seperti itu. Akan ku usahakan.
Insyaallah
No comments:
Post a Comment