Monday, 5 November 2012

Pengalaman menghadiri Seminar Jutawan Industri 2012

Semalam iaitu 4 November 2012 saya telah menghadiri Seminar Jutawan Industri 2012 bersama kakak (Shahridah) dan adik saya (Shahliha @ Lily).  Dengan keadaan kami yang tak berapa mahir dengan jalan-jalan dan tempat-tempat di Kuala Lumpur dan dengan keadaan Wisma MCA agak tersorok oleh bangunan-bangunan yang tinggi di sekelilingnya, akhirnya kami selamat juga sampai ke destinasi sekitar jam 8.25 pagi.  Perasaan gembira dan bersyukur terbit di hati saya kerana akhirnya kami telah selamat sampai.  Ketika itu tak sabar rasanya untuk merasai dan mengalami sendiri pengalaman menghadiri seminar Dr. Azizan Osman iaitu jurulatih kejayaan No. 1 yang terkemuka.

Setelah kami meletakkan kereta di bawah bangunan Citibank, kami berjalan kaki ke Wisma MCA yang terletak bersebelahan bangunan tersebut. Sesampai kami disana, dewan MCA telah dipenuhi dengan ramai peserta seminar.  


Setelah mengisi borang pendaftaran, kami telah dibekalkan dengan Workbook Seminar Jutawan Industri. Oleh kerana tingkat bawah telah penuh, jadi kami diarahkan untuk pergi ke tingkat atas.  Kami telah memilih tempat duduk barisan ke lima dari depan.  Melihat dari jumlah peserta yang ada, saya anggarkan ada lebih dari 1000 orang yang hadir. Dewan seminar tersebut adalah dua tingkat dan mempunyai tiga skreen tayangan besar . Kami telah disajikan dengan testimonial-testimonial kejayaan anak-anak murid Dr. Azizan yang telah mencapai pendapatan jutaan ringgit.

Seminar dimulakan dengan sessi memanaskan badan ala-ala aerobik lebih kurang 15 minit untuk memastikan kami sentiasa cergas sepanjang seminar.  Oleh kerana usia kandungan Lily telah menjangkau sembilan bulan, saya nasihatkannya untuk duduk saja.  Bimbang juga saya kalau-kalau dia melahirkan anak semasa seminar sedang berjalan.  

Di dalam seminar tersebut beberapa anak didik Dr. Azizan telah berkongsi kejayaan mereka.  Di antaranya adalah Puan Yazra Nadia Yahaya, Pengarah Pemasaran Hana Gold Trade Centre Sdn Bhd.  Beliau telah berkongsi pengalaman bagaimana beliau telah bangkit semula setelah rugi teruk di dalam perniagaan emas dengan mempraktikkan ilmu yang dipelajari beliau dari seminar anjuran Dr. Azizan.  Beliau telah mengikuti salah satu Seminar Dr. Azizan pada bulan November 2011.  Dalam masa empat bulan selepas kursus, beliau telah berjaya membuka enam cawangan dan kini syarikat Hana Gold telah berkembang pesat dan telah mempunyai 15 cawangan di serata Malaysia. 

Seorang lagi anak didik Dr. Azizan yang menarik perhatian saya adalah pengimpot madu dan pengasas syarikat Golden Honey iaitu Shah Azizul Hakim.  Beliau asalnya adalah pemandu peribadi Dr. Azizan.  Kini beliau telah berhenti dari menjadi pemandu dan membuka syarikat sendiri yang mengedarkan madu asli Golden Honey.  Dari seorang pemandu yang hidup biasa biasa. kini beliau telah menjadi seorang usahawan yang luar biasa yang memperolehi pendapatan jutaan ringgit.  Semuanya adalah hasil didikan dan bimbingan Dr. Azizan.  

Ilmu yang diajarkan di dalam seminar tersebut memang bernas dan mudah untuk difahami dan dipraktikkan.  Kami juga dibekalkan dengan buku Lima Puluh idea pemasaran.  Mengikut Dr. Azizan, jika kita mempraktikkan apa yang ada di dalam buku tersebut, tidak mustahil perniagaan kita akan meningkat dengan drastiknya dalam masa yang singkat.

Saya rasa amat bertuah kerana telah mengambil keputusan untuk menghadiri seminar ini.  Semoga peserta peserta yang lain juga mendapat manfaat dengan ilmu yang dikongsikan di seminar tersebut.



No comments: