Friday 11 July 2014

Khasiat kopi

Sebelum ini saya telah diberitahu oleh beberapa orang bahawa mengamalkan minum kopi (iaitu salah satu minuman kegemaran saya) adalah sesuatu yang tidak berapa baik terutama sekali kepada kanak-kanak.  Kandungan kafeinnya boleh melemahkan otak anak-anak.  Ia juga tidak boleh di minum oleh orang yang mempunyai penyakit darah tinggi. 

Berlainan pula dari apa yang saya baca dari akhbar Harian Metro bertarikh 7 Julai 2014 ini.  Artikle tersebut ditulis oleh Faizatul Farlin Farush Khan yang bertajuk "Nikmati kopi dengan penuh yakin".   Menurut beliau, banyak kajian menunjukkan meminum kopi bukan sahaja tidak menjejaskan kesihatan, malah banyak memberi manfaat kepada tubuh dan minda seseorang yang gemar menikmati beberapa cawan minuman kopi setiap hari.  Menurut beliau, beberapa kajian turut mendedahkan prestasi kognitif warga emas akan menjadi lebih baik sekiranya mereka menikmati tiga hingga empat cawan kopi setiap hari.  Prestasi kognitif ini merujuk kepada kemahiran berfikir, persepsi, fokus, daya ingatan, keupayaan menyelesaikan masalah serta reaksi tindakbalas terhadap sesuatu situasi serta menajamkan fikiran.


Menurut beliau lagi, bahan antioksidan semulajadi iaitu polifenol yang terdapat dalam kopi juga membantu pertahanan badan.  Ia membantu menghalang penyakit kardiovaskular dan memainkan peranan dalam melindungi tubuh daripada penyakit kemerosotan saraf , kanser dan diabetes.  Ia juga mengurangkan risiko penyakit Parkinson dan Alzheimer.  Beberapa kajian yang dijalankan kepada penduduk Eropah, Amerika Utara dan Asia mendedahkan bahawa kopi mampu menghalang risiko pembentukan sel kanser pada usus, payudara dan hati.

Walau apa pun maklumat dan khasiat yang boleh didapati dari meminum kopi, bersederhana adalah yang terbaik supaya mendapat kesihatan yang ideal.






No comments: