Wednesday 23 October 2013

Epal - mengurangkan risiko serangan jantung dan diabetes tahap 2

Buah epal selain sedap dimakan, ia mengandungi pelbagai khasiat iaitu seperti membantu mengelakkan kencing manis, sakit jantung, lapan jenis kanser dan alzheimer.

Menurut Jurnal Perubatan British, menikmati epal sekurang-kurangnya dua hidangan seminggu dapat mengurangkan risiko sehngga 23 peratus dari mendapat diabetes tahap 2.  Epal hijau juga mengandungi phytonutrient yang berfungsi melambatkan pengoksidaan kolesterol yang tidak baik, sekaligus mengurangkan risiko penyakit jantung.  Serat epal pula membantu proses penghadaman dengan mengeluarkan asid organik sewaktu bertindak balas dengan bakteria dalam usus yang mampu membantu membasmi pertumbuhan kanser usus.

Penemuan baru oleh Universiti de Valencia yang membabitkan 48 kanak-kanak obes yang berumur di antara 9 dan 15 tahun mendapati snek epal yang direndam ke dalam jus limau manderin dapat membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular kepada kanak-kanak.  Epal juga membantu mengurangkan gejala keradangan yang dikaitkan dengan serangan jantung.

Sumber :  Harian Metro Selasa 22 Oktober 2013



Monday 21 October 2013

Khasiat sireh, buah delima, maca dan guarana untuk kesihatan

Herba, buah-buahan, ulam-ulam dan sayur-sayuran telah diketahui umum mempunyai banyak khasiat dan baik untuk kesihatan.  Untuk topik kali ini saya ingin berkongsi maklumat tentang beberapa tumbuhan yang saya perolehi dari Harian Metro Jumaat, 11 Oktober 2013.

Mula-mula saya ingin berkongsi tentang khasiat sireh. Sireh bukan sahaja digunakan oleh masyarakat Melayu, tetapi juga digunakan oleh pelbagai bangsa di seluruh dunia. Sireh mampu menjadi penawar dan juga boleh digunakan untuk kesihatan dan kecantikan kulit.  Sireh mengandungi antiseptik yang berupaya membunuh kuman berbahaya pada sistem badan.  Ia juga mampu melancarkan sistem peredaran darah dan baik untuk menyerikan dan mencerahkan kulit.

Sireh boleh digunakan untuk mengubati penyakit mulut, tekak dan lapisan perut. Daunnya boleh digunakan untuk ulser, selesema serta radang kerongkong.  Ia juga boleh digunakan untuk masalah gastrik dan penyakit paru-paru yang dihidapi kanak-kanak.

Daun sireh yang ditumbuk boleh dijadikan losyen mandian untuk mengubati penyakit seperti demam, demam campak, kelenjar membesar dan lymphagitis.  Daun sireh yang segar pula, jika dicampurkan ke dalam bahan perubatan lain, akan menjadi rensangan antiseptik, gatal-gatal dan masalah dalaman lelaki.  Bahan antiseptik semulajadi sireh berupaya membunuh kuman, bakteria dan kulat dengan khasiat hemostasisyang dapat melancarkan darah dan menghentikan pendarahan.

Wednesday 16 October 2013

Kulit sihat dan cantik dengan bahan semulajadi

Setiap orang pasti menginginkan kulit yang putih gebu dan cantik dan setiap hari kita dihidangkan dengan iklan kosmetik penjagaan kulit di surat-surat khabar, majalah dan kaca televisyen.  Jika kita telah membuat keputusan untuk menggunakan kosmetik jenis moden ini, kita harusklah menyelidik dahulu tentang kesesuaian dan keselamatan produk tersebut terhadap kulit kita.

Artikel saya ini bukanlah hendak mengupas tentang kosmetik tersebut, tetapi ingin berkongsi dengan pembaca semua tentang maklumat yang saya dapat dari Harian Metro Khamis bertarikh 3 Oktober 2013 mengenai penggunaan bahan semulajadi untuk kecantikan kulit.

Bahan semulajadi yang pertama yang akan saya kongsikan ini amat mudah diperolehi dan paling sering digunakan sebagai salah satu dari bahan masakan; iaitu kentang.   Selain boleh dimasak untuk hidangan keluarga, ia mempunyai kelebihan tersendiri untuk kecantikan kulit badan dan wajah.

Kentang mengandungi vitamin C yang sangat baik untuk kulit.  Ia mampu melembutkan dan mencerahkan kulit secara semulajadi.  Untuk menggunakannya, kentang tersebut haruslah dihancurkan / dilumatkan sebelum diratakan ke seluruh muka dan bahagian badan.  Biarkan di kulit selama sekurang-kurangnya 30 minit.  Hirisan kentang juga boleh diletakkan di bahagian mata dan dibiarkan 30 minit juga.  Ini dapat membantu mengurangkan lingkaran gelap di bawah mata.