Thursday 19 September 2013

Sayangi jantung anda dengan makanan yang berkhasiat dan rendah kolesterol


Kesihatan jantung amat berkait rapat dengan pemakanan yang kita makan hari-hari.  Pengambilan makanan yang berkhasiat serta mengandungi kandungan kolesterol yang rendah amat membantu dalam penjagaan kesihatan jantung. Penjagaan terhadap pemakanan dan jantung perlu saling melengkapi.  Pemakanan sihat akan memberi kesan kepada usaha mengurangkan tahap kolesterol, sekaligus mengelakkan risiko serangan jantung.

Tahap kolesterol yang tinggi dalam badan disebabkan pengambilan makanan yang mengandungi kolesterol yang berkebihan boleh mendatangkan pelbagai masalah kepada kesihatan dan jantung.  Kolesterol berlebihan akan menjurus kepada pemendapan pada dinding salur darah yang seterusnya menyempitkan arteri dan boleh menyebabkan ia tersumbat serta boleh menyebabkan serangan jantung.

Pengambilan makanan yang kaya dengan gandum, protein, serat serta antioksidan dan rendah kandungan kolesterol ditambah lagi dimasak dengan menggunakan minyak zaitun amat baik untuk jantung kerana minyak zaitun mampu membantu mengurangkan kolesterol dalam darah.

Sayur juga boleh menjadi diet yang paling mudah dan ringkas kerana ia secara semulajadi rendah lemak dan kalori dan tidak mengandungi kolesterol.  Ia adalah sumber penting untuk pelbagai jenis nutrien termasuk potassium, serat, folat (asid folik), vitamin A dan vitamin C. 

Friday 6 September 2013

Susu ibu - Kebaikan kepada ibu dan anak


Susu ibu memang diakui sejak dulu lagi mempunyai pelbagai nutrien penting yang diperlukan bagi melindungi bayi dari sebarang jangkitan dan penyakit.  Antara kebaikan yang terkandung dalam susu ibu adalah antibodi, hormon, antivirus, antialahan, antiparasit dan sebagainya.

Menurut pengasas The Breastfeeding Advocates Network (TBAN), seperti yang tersiar di dalam akbar Harian Metro 2 September 2013, susu ibu dapat memberikan kesihatan yang lebih baik kepada bayi walaupun ketika itu ibu sedang sakit. 

Ini adalah kerana apabila si ibu sakit, badan si ibu akan mengeluarkan antibodi untuk melawan penyakit.  Antibodi ini juga akan ada di dalam susu ibu tersebut.  Oleh itu, antibodi di dalam susu tersebut akan melindungi anak dari terkena penyakit yang sama.

Dari segi peratusan pula, susu ibu mengandungi 88.1 peratus air (susu), 3.8 peratus lemak, 7 peratus laktosa, 0.9 peratus protein dan 0.2 peratus lain-lain.  Oleh itu tidak perlu lagi memberikan air tambahan kepada bayi kerana susu telah mengandungi kandungan air yang tinggi.  Air yang berlebihan boleh mengundang bahaya kepada bayi.  Oleh itu elakkan dari memberi air kepada anak selepas penyusuan susu ibu.

Tuesday 3 September 2013

Bendi - khasiat dan kelebihannya

Tahukah anda bahawa, bendi yang sering dicampurkan ke dalam masakan asam pedas dan kari itu mengandungi banyak khasiat. Di antara khasiatnya adalah seperti:
  1. Ia kaya dengan kandungan kalsium, protein, serat, garam galian serta vitamin B.
  2. Menerusi kajian, bendi baik untuk perkembangan otak, menambah daya ingatan dan kecergasan minda.
  3. Air rebusan biji, akar dan bunga bendi boleh dijadikan minuman untuk wanita mengandung bagi memudahkan proses melahirkan anak.
  4. Bendi juga boleh digunakan untuk merawat kudis dan bisul dengan menyapukan bendi yang telah dilumatkan kebahagian tersebut.
  5. Air rebusan bendi yang dicampur dengan gula pula boleh merawat batuk serta sakit kerongkong.
Oleh itu, bagi yang sering memasak menggunakan sayuran ini, teruslah amalkannya.  Bagi yang tak suka makan sayur pula, belajarlah memakan sayur dengan memulakannya dengan bendi hari ini.

Sumber:  Harian Metro 29 Julai 2013.